Khamis, 8 November 2012

Remaja Sakti vs Remaja Sekolah

Salam semua,

Untuk pengetahuan korang, Jumaat minggu lepas Syara pergi ke Metro Kajang. Sebenarnya Syara dengan kawan (Satirah & Zaleha) pergi lembaga jabatan hasil dalam negeri nak matikan setem untuk JPA. Entah macam mana Syara punya dokumen ada masalah pula, nak tak nak kena 'print' balik dan minta tolong kawan lain untuk matikan setem itu. Waktu tu memang 'frust' sangat. 

Nak dijadikan cerita, kami singgah sekejap dekat metro kajang. Dah alang-alang sampai sanakan, cuci mata dulu. Syara pernah beritahukan yang Syara ni minat sangat baca novel tapi sebab sibuk, sudah lama Syara tak beli novel. Jadi hari itu Syara memang berniat nak beli buku jadi Syara dengan kawan pergi cari mana kedai buku dekat metro kajang ni. Akhirnya jumpa juga satu kedai buku. Syara terus melihat novel-novel yang dijual. Dan, memang tak sangka betul novel yang Syara nak beli sangat-sangat (10X) ada dijual di kedai itu, yeahhhh!! Syara beli dua sekaligus tau. Satu namanya Adi Satria Naga dan yang lagi satu, Tunas.

Adi Satria Naga, kisah remaja sakti

Untuk pengetahuan semua, Syara ni peminat novel fantasi dan pengembaraan remaja tapi susah nak cari novel genre ini dalam bahasa Melayu. Dalam bahasa Inggeris banyaklah. Syara cuma tahu satu penerbit sahaja yang banyak terbitkan novel genre ini iaitu PTS. Jadi Syara selalu buka portal PTS untuk cari judul buku genre fantasi yang menarik. Adi Satria Naga adalah salah satu daripada 'novel list wanted' Syara.

Adi Satria Naga adalah karya AD Mirzai (bukan sebarangan penulis tau, dia ni sebenarnya jurutera) mengisahkan tentang Haikal, remaja bermasalah yang disangka terkorban di dalam timbunan tanah runtuh. Namun dia sebenarnya masih hidup dan tercampak ke satu dunia yang ada persamaan dan juga pembezaan dengan dunianya; dunia selari.

Dunia di mana Melaka tidak dijajah oleh mana-mana penjajah barat. Malah membentuk kerajaan Nusantara dengan Acheh, Pattani dan Demak. Di dunia ini juga wujud naga yang selama ini disangka hikayat purba ciptaan manusia

Syara rasa novel ini sangat menarik kerana:

Tercampak di dunia selari,
apakah nasib Haikal?
1. Kisahnya berkonsepkan unsur dunia selari; di mana dalam dunia ini, Melaka tidak dijajah oleh Portugis,  Belanda ataupun Inggeris malah menjadi satu kerajaan besar selepas bergabung dengan kerajaan Acheh, Patani dan Demak. Syara suka idea 'What If ' yang diutarakan oleh penulis AD Mirzai ini. 'Jika Melaka tak dijajah oleh mana-mana penjajah Barat, bagaimana agaknya? Bagaimana peradapan manusia di Nusantara? Bagaimana keadaan dunia Nusantara yang tidak dicemari oleh pemikiran dan falsafah barat?' 

Sedikit sebanyak novel ini membuatkan kita berfikir bahawa budaya dan peradapan kita setanding dengan budaya barat dan betapa pentingnya kita untuk membentuk jati diri kita agar tidak mudah terpengaruh dengan budaya barat sehinggakan kita sanggup menjunjung budaya lain dan memijak budaya sendiri.

2.Elemen fantasi yang diterapkan juga sangat menarik. Kewujudan naga, pengguna tenaga unsur dan ahli mempertahankan diri yang handal dan tangkas membuatkan Syara teringat novel-novel Inggeris seperti Eragon dan Chronicles Of Narnia. 

3. Novel turut menyelitkan sedikit elemen Islamik. Sebab itu Syara suka beli novel PTS kerana novel-novelnya mengadunkan elemen Islamik dengan genre fantasi yang tidak terdapat dalam mana-mana novel Inggeris atau komik-komik Jepun. Sekurang-kurangnya, pembaca dapat merasai genre fantasi dan pengembaraan yang mengandungi elemen budaya Melayu dan Islam.

Tunas, coretan remaja sekolah

Tunas adalah novel pertama karya Hlovate yang Syara beli. Syara tertarik nak beli kerana Syara pernah baca novel pendek Hlovate bertajuk 'Ked Story' dalam novel yang memuatkan 3 novel mini karya 3 penulis Jemari Seni, Pelangi. Syara tertarik sangat dengan nama Hlovate tu. Pelik sangat, ingat Hlovate tu orang Rusia ^_^. Selepas itu, ada kawan Syara yang 'recommend' novel 'Tunas' dan 'Aa+Bb'. Alhamdulillah, dapat juga beli novel 'Tunas'.

Hidup remaja yang penuh dengan
warna-warni

Tunas adalah hasil karya Hlovate, penulis misteri yang 'low-profile' dan ramai tertanya-tanya jantinanya. Novel ini merupakan 'prequel' bagi novel Aa+Bb, mengisahkan tentang Addin, Benz dan rakan-rakannya semasa bersekolah di kolej elit 'Tunas'. Turut termuat juga kisah Magnificient 7, yang sangat nakal dan berbeza karakter.

Apa yang menarik tentang novel ini:
1. Kebanyakan kisah yang ditulis adalah sebahagian daripada pengalaman hidup penulis sendiri. Bagi yang pernah duduk di asrama dulu, novel ini membangkitkan nostalgia waktu belajar, bermain dan mencetuskan masalah. Memang kelakar sangat dengan 'scene' Addin dan rakan sebiliknya mandi air suling di makmal kerana sudah seminggu bekalan air terputus. (Agaknya budak UKM ada tak buat benda yang sama ^_^)

2. Hlovate turut memuatkan segala macam formula dan rumus Kimia, Fizik dan 'Addmath'. Syara memang tabik 'spring' betullah dengan Hlovate. Nampak sangat yang Hlovate ini seorang yang 'genius' sampai Syara pun tak faham ^_^.
 
Pendek kata, Syara berpuas hati dengan dua karya yang Syara baru 'khatam' beberapa hari lepas. Lepas ini tak sabar nak tunggu sambungan Adi Satria Naga ( sebab ceritanya tergantung) dan tak sabar nak beli Aa+Bb.

Sekian sahaja. Bye ^_^.

1 ulasan:

  1. Ya Saya setuju dengan apa yang Akak Syara katakan. Kedua-dua novel ini tidak kurang hebatnya. Namun begitu, saya sedang mencari sambungan Novel AsiSatria Naga. Mohon bantuan Akak Syara untuk memberikan sedikit maklumat kepada saya dan rakan-rakan yang lain. Terima kasih.

    BalasPadam