Khamis, 22 November 2012

Bagaikan puteri...

Salam semuaaaa...^_^,

Bertemu kita sekali lagi. Siang tadi buat pertama kalinya Syara meminjam buku di PTSL untuk buat rujukan projek akhir pengantar pengurusan. Yang tak sedapnya, dua daripada tiga buku itu dalam bahasa Inggeris. Terpaksalah Syara bertapa hujung minggu ini untuk membaca buku-buku tersebut. Hari Sabtu ada ujian pula. Memang 'seronok' kan T-T.

Bila bercakap tentang buku, Syara teringat novel-novel kesayangan yang Syara tinggalkan di rumah. Rindunya pada 'mereka' memang tak terkatalah TERUTAMANYA karya yang dihasilkan oleh Ramlee Awang Mursyid. Ramlee Awang Mursyid merupakan salah seorang penulis kegemaran Syara. Hampir kesemua novel dia Syara akan beli.

Anda semua mesti tertarikkan dengan tajuk post kali ini iaitu 'Bagaikan Puteri'. Bagaikan Puteri adalah salah satu daripada karya Ramlee Awang Mursyid. Yang menariknya novel ini mempunyai sebanyak 5 sambungan iaitu Cinta Sang Ratu, Hijab Sang Pencinta, Cinta Sufi, dan yang terakhir ialah Sunan Musafir.

Kali pertama Syara membaca novel Ramlee Awang Mursyid ialah Cinta Sang Ratu (CSR).Waktu itu Syara berada di tingkata satu. Itu pun Syara meminjam daripada mak long Syara. Mak long Syara pun pengemar novel yang tegar. Syara ini bila pergi ke rumah dia mesti belek-belek rak novel mak long dan baca sembunyi-sembunyi (malu nak pinjam). Tapi hari itu ditakdirkan mak long ternampak Syara membaca novel CSR terus dia beri Syara pinjam ^_^.
 
Setelah habis membaca CSR, Syara rasa sangat seronok dengan jalan ceritanya yang lain daripada yang lain (novel ini bergenre epik thriller). Sebelum ini Syara tak pernah langsung baca novel genre thriller jadi novel CSR terasa 'kesegarannya'. Cuma Syara rasa tak puas hati kerana pengakhiran cerita dibiarkan tergantung. Ketika memulangkan buku tersebut, Syara dapat tahu daripada Yaya (sepupu) yang CSR ini sebenarnya sequel untuk novel Bagaikan Puteri. Kemudian bermulalah pencarian Syara ke kedai buku untuk mencari novel tersebut. Minat Syara terhadap siri Bagaikan Puteri semakin berkembang selepas membaca novel pertamanya yang sangat mantap dan menerujakan.

Hampir kesemua novel siri Bagaikan Puteri Syara kumpul, koleksi ini memang Syara sayang sangat. Kalau adik-adik ambil selepas itu letak merata-rata, memang kena marahlah dengan Syara. 

Kenapa Syara suka sangat dengan siri ini?
iNILAH sIRI bAGAIKAN pUTERI kESAYANGAN sYARA ^_^


^_^ Secara ringkasnya, Siri ini mengisahkan tentang perjuangan Laksamana Sunan yang di hidup pada kurun ke-15 menentang makhluk Allah yang kufur seperti jin, pontianak, serigala jadian dan macam-macam lagilah. Istimewanya, Sunan atau nama sebenarnya Saifudin mempunyai senjata yang ampuh iaitu keris Nanggroe yang amat digeruni oleh musuhnya. Laksamana Sunan seperti gelarannya adalah seorang pahlawan yang gagah lagi warak. 

Mengikut kata penulisnya, siri ini dwitriologi. Triologi pertama (Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu & Hijab Sang Pencinta) berkisar tentang Laksamana Sunan, Haryani dan Dani. Haryani sebenarnya hidup di alaf 21 tetapi tercampak ke kurun ke-15 sewaktu koma lalu berjumpa dan akhirnya jatuh cinta dengan Laksamana Sunan. Dani ini pula, keturunan Sunan tetapi dari susur galur abang Sunan iaitu Megat. Dipendekkan cerita Dani jatuh cinta dengan Haryani (yang koma di alaf 21) dan cuba untuk bawa Haryani pulang. 

Yang menariknya, novel Bagaikan Puteri menceritakan tentang Haryani yang pergi ke kurun ke-15, sequelnya, Cinta Sang Ratu menonjolkan Dani pula yang tercampak ke sana dan bertemu dengan 'moyang kepada moyangnya', Laksaman Sunan. Dan akhirnya pada Hijab Sang Pencinta, Laksaman Sunan pula yang menjelajah ke alaf 21 selepas 'tertidur' panjang (seperti kisah Ashabul Kahfi).

Triologi kedua pula (Cinta Sufi, Sutera Bidadari & Sunan Musafir) lebih kepada kisah di kurun ke-15 berlatar belakangkan waktu semasa Portugis menjajah Melaka. Watak Haryani dan Dani berubah menjadi watak sampingan. Muncul watak-watak baru seperti Luna, Yedee dan Catalina/ Maryam. Siri ini menceritakan pertarungan terakhir antara Laksamana Sunan dan seteru utamanya, Taghut.

Syara rasa sedih betul bila Siri Bagaikan Puteri berakhir. Rasa macam tak puas. Kalau boleh nak saja suruh En. Ramlee tulis lebih banyak kisah Laksaman Sunan. Mungkin kali ini boleh ceritakan tentang anaknya pula, Andika. ^_^

Apa-apa pun, ALL THE BEST  kepada Ramlee Awang Mursyid.
Semoga dapat menghasilkan lebih banyak karya yang bermutu.

Opps banyak pula Syara menulis kali ini,
Baiklah Syara akhiri post kali ini ya.
bYE ^_^.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan